Syamsul Yusof Terharu Harapan Bapa

Kredit Gambar: Mr. Google
Filem Munafik arahan Syamsul Yusof yang ditayangkan pada 25 Februari tahun lalu berjaya mencatat kutipan RM18 juta sekali gus mencipta sejarah sebagai filem tempatan paling laris sepanjang zaman.

Filem yang turut menampilkan Syamsul sebagai pelakon utama bersama Nabila Huda ini turut 'mengganas' pada malam Anugerah Festival Filem Malaysia ke-28 (FFM 28) apabila merangkul anugerah Filem Nasional Terbaik.

Filem kesembilan arahan Syamsul itu turut melayakkannya menjulang trofi Pengarah Terbaik FFM 28 selain anugerah Penyunting Terbaik.

Bertitik tolak daripada kejayaan itu, filem terbitan Skop Production Sdn Bhd itu turut ditayangkan di lebih 80 panggung wayang di Indonesia.

Baru-baru ini, Munafik sekali lagi mencatat sejarah apabila Syamsul dinobat sebagai Pengarah Terbaik pada Festival Filem Asia Pasifik (FFAP 57) yang berlangsung di Phnom Penh, Kemboja.

Apa yang pasti, Syamsul yang sudah tiga kali memenangi kategori Pengarah Terbaik pada FFM tidak mahu berhenti setakat itu sahaja.

Kejayaan di peringkat Asia Pasifik itu dijadikan pembakar semangat untuknya menghasilkan karya yang lebih bermutu supaya mampu bersaing di peringkat global atau Hollywood.

Syamsul ketika ditemui berkata, dia terkejut apabila bapanya, Datuk Yusof Haslam memberi harapan kepadanya atau pengkarya lain untuk membawa produk tempatan ke Hollywood. Jika tidak sekalipun, menjadi pengarah untuk karya terbitan di sana.

"Kalau nak tahu, selama ini saya dan adik, Syafiq mengarah filem adalah untuk memberi kepuasan kepada ayah. Malah itu harapan yang diletakkan kepada kami supaya sentiasa mempersembahkan filem bermutu."

"Cita-cita ayah itu memang tinggi. Kalau nak direalisasikan perkara itu boleh, tetapi ia pasti mengambil masa. Kita tak boleh terburu-buru kerana banyak perkara perlu diambil kira. Jika nak, mulai sekarang perlu 'kayuh' secara perlahan-lahan,"katanya.

Kemenangan Syamsul juga membuktikan dia bukan seorang yang hanya pandai bercakap sahaja.

Syamsul berkata, bercakap banyak tidak guna sekiranya tidak ada sebarang hasil yang ditunjukkan.

"Dari dulu lagi saya tak pandai nak main cakap saja. Kalau boleh saya nak tunjukkan hasil saja, malah saya lebih merendah diri. Biarlah apa saja yang orang nak perkatakan mengenai karya saya, asal saja ia mampu membuahkan kejayaan."

"Setiap kali saya membentangkan idea mengenai filem baru kepada ayah, dia pasti mengatakan ia hanya filem biasa. Namun, apabila siap sepenuhnya, baru dia okay dan yakin,"katanya.

Saymsul ditemui pada majlis kesyukuran sempena kemenangannya itu di Restoran Haslam, Kuala Lumpur.

Majlis itu turut dihadiri wakil dari Perbadanan Kemajuan FIlem Nasional Malaysia (FINAS), Datuk Yusof Haslam, Datuk Rahim Razali, Mawi, Adam Korrie Lee dan A.Galak.

Kredit Gambar: Mr. Google
Munafik 2 Lebih Bagus


Mengotakan janjinya untuk membuat sekuel filem Munafik, Syamsul kini dalam proses akhir penyuntingan Munafik 2.

Jika filem terdahulu menelan belanja RM1.6 juta, bajet yang digunakan untuk Munafik 2 pula lebih besar iaitu RM2.2 juta.

Selain menampilkan beberapa wajah baru seperti Maya Karin dan Mawi, kali ini Syamsul mengetengahkan isu ajaran sesat.

“Saya tahu jangkaan dan harapan penonton tinggi untuk Munafik 2. Mereka sentiasa menunggu sesuatu yang lain dalam filem saya. Disebabkan itu saya tak boleh selesa dengan apa yang pernah ada, sebaliknya perlu selangkah ke hadapan.”

“Filem ini orang takkan boleh jangka jalan ceritanya. Ketika menyiapkan skrip ini, saya menganggap Munafik 2 seperti filem pertama saya. Pendek kata, saya lebih matang dari segi penceritaan.”

“Saya tak berani nak berjanji, Cuma apa yang saya boleh katakana Munafik 2 lebih bagus. Saya ada keyakinan tinggi terhadap filem ini. Apabila ditayangkan kelak, file mini bakal mengubah landskap perfileman di Negara kita,” katanya yang mengambil masa dua bulan untuk proses penggambaran.

Munafik 2 yang masih mengekalkan Syamsul dan Fizz Fairuz selaku watak utama ini bakal menemui penonton pada Februari atau April tahun depan.
 
Sumber: Telegram GOSIP CERITA TERKINI ARTIS

Blogger Propa Rangers: Illya LeYa
Share on Google Plus

About Illya LeYa

Blog | http://proparangers.blogspot.com/ Facebook | http://www.facebook.com/proparangers

0 comments:

Post a Comment