Pemenang Pingat Emas KL2017 Diberi Penghormatan Tanam 235 Pokok


8 November 2017 - Inisiatif Hijau KL 2017 yang dilaksanakan sempena Sukan SEA ke-29 dan Sukan PARA ASEAN ke-9 telah mencapai sasarannya apabila berjaya mengurangkan pelepasan gas rumah kaca sebanyak 2,703 tan karbon dioksida.

Menurut Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin , itu adalah hasil yang diperoleh apabila berjaya merawat sisa sebanyak 49 peratus tanpa perlu dibawa ke tapak pelupusan. 

"Secara keseluruhannya saya amat berpuas hati dengan inisiatif hijau dengan beberapa kejayaan simbolik di sepanjang temasya ini."


Inisiatif Hijau KL 2017 yang dijalankan ini berjaya menghasilkan penjimatan dan pengurangan gas rumah hijau serta melepasi sasaran yang diletakkan iaitu 30 peratus untuk rawatan sisa dan 15 peratus penggunaan tenaga.

Sebanyak 235 pokok ditanam atlet-atlet Malaysia yang mewakili 145 dan 90 pingat emas yang dimenangi Kontinjen Malaysia pada Temasya Sukan SEA dan Sukan Para ASEAN ditanam di sekitar KL Sport City sempena kesinambungan program "Satu Pingat, Satu Pokok" yang dilancarkan 2 Ogos lalu.

Malah ia tidak termasuk dengan penggunaan pengangkutan awam dan basikal yang disediakan. Jika diikutkan, lebih banyak penggunaan gas rumah hijau yang dapat dikurangkan," katanya.
Khairy berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas merasmikan program Satu Pingat Satu Pokok di perkarangan Stadium Nasional, Bukit Jalil.


Yang turut hadir, Pengerusi Landskap Malaysia, Tun Jeanne Abdullah; Ketua Setiausaha Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air (KeTTHA) Datuk Seri Ir Dr Zaini Ujang dan Ketua Pegawai Eksekutif Sekretariat Jawatankuasa Pengelola Malaysia (MOSAC) KL2017, Datuk Seri Zolkples Embong.

Justeru, Khairy berharap, Inisiatif Hijau yang pertama kali dilakukan dalam penganjuran Sukan SEA dan Sukan PARA ASEAN dapat menjadi contoh kepada acara besar yang lain. Hal ini kerana, beliau melihat pendekatan dengan menggunakan temasya sukan sebagai pentas untuk mempromosi pembangunan lestari dan gaya hidup hijau ini dianggap sebagai berjaya.

"Jadi ia boleh dicontohi apabila Malaysia menjadi tuan rumah kepada Mesyuarat Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) dan Mesyuarat Ketua-Ketua Kerajaan Komanwel (CHOGM) pada tahun 2020. Kita boleh menggunakan acara penting ini untuk menunjukkan inisiatif hijau yang dijalankan.
"Namun bukan melalui acara besar ini saja tapi pendekatan ini juga harus menjadi rutin kepada rakyat Malaysia untuk mengurangkan pengeluaran gas rumah kaca dalam memelihara alam sekitar dan khazanah hutan negara," katanya.

Share on Google Plus

About Faizol Hafizi

Blog | http://proparangers.blogspot.com/ Facebook | http://www.facebook.com/proparangers

0 comments:

Post a Comment