Fauzi Nawawi Masih Teringin Berlakon

Kredit Photo: https://www.xtra.com.my/
Pelakon lelaki dan terkenal, Fauzi Nawawi menepis tanggapan yang kononnya dia tidak lagi berminat untuk berlakon apabila sudah mengendalikan perniagaan sebuah hotel butik di Kuala Lumpur sejak tiga bulan lalu.

Katanya lagi, bidang yang diceburi lebih dua dekad itu amat memberi makna dalam liku-liku perjalanan hidupnya. Malah dari bidang itu juga, dia mempersiapkan diri untuk meneroka bidang perniagaan perhotelan yang penuh cabaran ini.

“Bidang lakonan sudah menjadi darah daging dan periuk nasi saya sejak dulu. Mana mungkin untuk saya lupakannya. Cuma, kesibukan sejak dua tahun lalu demi merealisasikan penubuhan Bunker Hotel & Restaurant telah membataskan waktu untuk saya berkarya.”

“Siapa kata saya tak rindu untuk ke lokasi penggambaran? Namun, hotel ini lebih memerlukan tumpuan penuh daripada saya beserta dua lagi rakan kongsi. Terlalu banyak lagi perancangan jangka panjang yang kami sudah susun demi memperkembangkan hotel ini.”

Alhamdulillah… penubuhan Bunker Hotel & Restaurant telah melepasi tempoh tiga bulan dengan sambutannya yang berada di luar jangkaan. Fauzi berasa bertuah kerana mempunyai dua rakan kongsi yang hebat dan berpengalaman, selain turut dibantu ramai petugas berdedikasi mengendalikan operasi perhotelan ini.
Kredit Photo: http://www.bharian.com.my/
Menurutnya lagi, bilamana ada peluang berlakon dalam masa terdekat ini, dia rasa mampu untuk mengatur masa untuk kembali ke set. Namun, jika ada yang beranggapan dia ingin bersara kerana sudah memasuki dunia korporat, jauh sama sekali untuk dia berbuat demikian.

Bunker Hotel & Restaurant telah ditubuhkan dengan bermodalkan RM8 juta dan lokasinya yang sangat strategik berhampiran pusat perubatan, kolej university serta lot komersial menjadikan ia adalah pilihan pelanggan untuk ke situ. Malah, dalam masa terdekat, operasi ruang siar kaki di hadapan premis mereka bakal dimeriahkan dengan aneka perniagaan dan hiburan yang dikelolakan bagi menyemarakkan lagi suasana kawasan berkenaan.

Dalam perancangan Fauzi, pada bulan ini, mereka akan melancarkan ruang pejalan kaki sebagai medan santai. Ia memberi peluang kepada pengusaha bisnes makanan kecil-kecilan untuk turut serta selain hiburan terbuka menerusi persembahan ‘busking’.

Fauzi yang juga bapa kepada lapan cahaya mata, termasuk empat hasil perkahwinannya dengan Lisdawati menegaskan perniagaan perhotelan tersebut diusahakan demi masa depan keluarga.

Sumber: Berita Harian
Share on Google Plus

About Propa Rangers

Blog | http://proparangers.blogspot.com/ Facebook | http://www.facebook.com/proparangers

0 comments:

Post a Comment