i-Saraan Bantu Pemandu Grab Tingkatkan Simpanan Persaraan

Kredit Photo: http://en.mdroid.my/
Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan syarikat perkhidmatan perjalanan e-panggilan, Grab Malaysia telah menandatangani memorandum persefahaman (MoU) untuk menggalakkan para pemandu Grab menyertai program Caruman Sukarela Insentif Persaraan (i-Saraan) di bawah kelolaan KWSP.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif, Datuk Shahril Ridza Ridzuan, pemandu e-panggilan yang menyertai program itu akan diperuntukkan dengan opsyen simpanan yang terjamin memandangkan KWSP mempunyai rekod prestasi pulangan yang mampan dan melebihi inflasi dan sudah terbukti ini mampu meningkatkan nilai simpanan mereka untuk tempoh jangka masa panjang.
"Dengan menyumbang kepada skim itu, pemandu yang menjadi rakan perkongsian Grab boleh menikmati faedah yang sama sebagai anggota KWSP seperti dividen tahunan, pelepasan cukai, faedah kematian dan akses kepada perkhidmatan nasihat persaraan kami tanpa sebarang kos," katanya lagi.
Selain daripada manfaat serta dividen tahunan, kerajaan juga akan menyumbang sebanyak 15% dengan jumlah maksimum RM150 setahun ke atas caruman tahunan sehingga 2022 bagi anggota di bawah usia 55 tahun.

Ketua Negara Grab Malaysia, Sean Goh berkata, menerusi kerjasama dengan KWSP, syarikat itu menyokong inisiatif kerajaan bagi mewujudkan sebuah ekosistem perlindungan sosial yang lebih holistik berdasarkan kaji selidik dengan para pemandu kami, 75% daripada mereka sudah menyatakan kesanggupan untuk menabung bagi persaraan mereka khususnya melalui usaha sama ini.
"Kita mahu menggalakkan mereka untuk menentukan serta mengemudikan jaminan kewangan masa depan mereka sendiri," katanya.
i-Saraan sebelum ini pernah dikenali sebagai Skim Simpanan Persaraan 1Malaysia dan telah direka bagi membenarkan individu-individu yang bekerja sendiri atau sesiapa sahaja yang menerima pendapatan bulanan yang tidak tetap seperti pemandu teksi, peniaga kecil, petani, peniaga kecil-kecilan dan pekerja bebas, untuk menabung persaraan mereka sambil menikmati faedah yang sama sebagai anggota KWSP.


Ia akan berkuat kuasa pada 16 Ogos 2018, Grab juga turut menyumbang 5% kepada jumlah yang disumbangkan oleh rakan pemandunya yang terpilih tertakluk kepada jumlah maksimum sebanyak RM80 setahun selain daripada insentif yang kerajaan telah peruntukkan.

Menurut statistik daripada Institut Maklumat dan Analisa Pasaran Buruh (ILMIA), daripada 22 juta penduduk Malaysia yang bekerja, hanya 7.1 juta sahaja menyumbang secara aktif kepada KWSP dan 1.7 juta dilindungi oleh skim pencen awam.

Baki 13.2 juta merangkumi individu-individu yang bekerja sendiri atau pekerja bebas dan di luar tenaga buruh yang tidak dilindungi mana-mana program perlindungan sosial dalam negara yang rasmi.

Sumber: Kosmo
Share on Google Plus

About Propa Rangers

Blog | http://proparangers.blogspot.com/ Facebook | http://www.facebook.com/proparangers

0 comments:

Post a Comment