Misteri Dilaila - Pengakhiran Cerita Di Tangan Anda!

Portal Propa Rangers telah menerima jemputan untuk menghadiri Tayangan Perdana Filem Misteri Dilaila yang berlangsung di MMCineplexes, E-Curve, Damansara pada 14 Februari yang lalu.


Filem Misteri Dilaila merupakan sebuah filem misteri thriller arahan pengarah muda Syafiq Yusof. Karya ini adalah gabungan mantap antara Astro Shaw dan juga Skop Productions. Menurut Syafiq lagi, "Saya mengambil masa yang agak lama untuk menghasilkan skrip ini secara keseluruhan. Untuk idea dan inspirasi sahaja memakan masa hampir 2 bulan untuk menulis". Berbicara lebih lanjut tentang pemilihan pelakon, kebanyakannya dipilih oleh pengarah sendiri hasil perbincangan bersama pihak Skop dan juga Astro Shaw. Walaupun beberapa kali dilabel sebagai "King of Plot Twist" oleh penggemar filem di Malaysia, Syafiq enggan dilabel begitu kerana baginya ia masih lagi menimba ilmu dalam proses penghasilan skrip.



Bagi Dato' Khairul Anwar Salleh yang merupakan Naib Presiden & Ketua Bahagian Melayu dan Nusantara, Kumpulan Kandungan Astro, beliau mengharapkan filem Misteri Dilaila menjadi pembuka kepada kejayaan kerjasama antara Astro Shaw dan Skop Productions yang mana kerjasama ini akan diteruskan lagi dengan penghasilan filem Abang Long Fadil 3 yang akan memulakan penggambaran pada Mac 2019.


Manakala Penerbit Skop Productions yang juga digelar Taikun filem Malaysia, Datuk Dr. Yusof Haslam berharap agar filem Misteri Dilaila ini dapat diterima oleh peminat filem tempatan. Beliau juga menyifatkan gandingan kerjasama kedua-dua pihak antara dua syarikat selepas kejayaan Abang Long Fadil 2 (2017) mampu membawa satu dimensi baru dalam sinema Malaysia dengan cerita dan gaya persembahan yang terkeluar dari klise filem Melayu.


Sinopsis Filem Misteri Dilaila

Filem ini mengisahkan sepasang suami isteri, Jefri (Zul Ariffin) dan Dilaila (Elizabeth) bercuti ke sebuah banglo di Bukit Fraser. Malam pertama di sana, Jefri telah diganggu dengan kejadian aneh. Keesokannya, Jefri mendapati isterinya telah hilang. Kemunculan Imam Aziz (Namron) telah membawa perkhabaran berita gembira. Dia memberitahu isterinya sudah ditemui dalam keadaan selamat. Jefri bagaimanapun terkejut wanita yang muncul bersama Imam Aziz bukan isterinya. Wanita itu mengakui dirinya Dilaila. Persoalan mula bermain di fikiran, siapa betul dan salah dalam situasi berkenaan. Mampukah Jefri merungkai misteri kehilangan Dilaila?

Filem
Misteri Dilaila

Genre
Seram

Pengarah
Syafiq Yusof

Penerbit
Datuk Yusof Haslam

Produksi
Skop Production Sdn Bhd

Bahasa
Bahasa Melayu

Lokasi Penggambaran
Bukit Fraser

Jumlah Hari Penggambaran
36 Hari

Tarikh Tayangan
21 Februari 2019

Jumlah Waktu Tayangan
1 jam 23 minit

Klasifikasi
P13

Barisan Pelakon
Zul Ariffin, Elizabeth Tan, Datuk Rosyam Nor, Sasqia Dahuri, Mas Khan, Namron, Nafiez Zaidi


Ulasan Filem Misteri Dilaila

Pada permulaan cerita, ia agak cantik dengan suasana pemandangan yang dihasilkan dengan dua watak iaitu Jefri dan Dilaila di dalam kereta untuk pergi bercuti di sebuah banglo milik keluarga Dilaila di Bukit Fraser. Setibanya mereka di banglo yang sudah lama ditinggalkan itu, ia menambah lagi persoalan di benak penonton bilamana Dilaila ada mengatakan ayat "Ayah I selalu cerita ada hantu yang menyerupai wajah sama macam I". Cukup membuatkan persoalan di benak fikiran penonton ketika itu. Apakah yang cuba Dilaila ingin perkatakan?

b

Kejadian aneh mula berlaku di mana Jefri mulai diganggu dengan jelmaan makhluk-makhluk hodoh yang turut memberi kesan kepada penonton dengan rasa takut ketika menontonnya. Watak Elizabeth sebagai Dilaila 1 tidak lah terlalu kerap muncul. Watak Dilaila 2 yang dilakonkan Sasqia Dahuri pula lebih banyak muncul bersama Imam Aziz lakonan Namron setelah Dilaila hilang. Sasqia mengakui dirinya "Dilaila", isteri Jefri. Jefri sedar akan itu dan ia menafikannya. Para penonton semakin tertanya-tanya dan teruja untuk mengetahui jawapannya.


Jalan penceritaan semakin mengelirukan dan menjadi semakin menarik di babak pertengahan di mana setiap watak memainkan peranan dengan baik dalam elemen misteri yang dihasilkan. Babak cerita kepada babak seterusnya mula bertukar-tukar dan membuatkan penonton semakin keliru dan sentiasa tertanya-tanya untuk cuba meneka situasi sebenar yang berlaku kepada Jefri dan Dilaila. Benarkah "Dilaila" yang ditemui Imam Aziz adalah isteri Jefri? Atau adakah sebenarnya Jefri mengalami tekanan perasaan atau penyakit berkaitan mental dan psikologi sehinggakan tidak mengenali wajah sebenar isterinya? Dari awal penceritaan, ia memang sentiasa dibelenggu persoalan untuk mendapatkan jawapan.


Namun, segala-galanya berubah apabila tiba ke babak kemuncak yang mana babak pengakhiran filem ini. Cerita yang cuba dipusingkan di mana ia berjaya memanipulasikan minda penonton. Pandai sungguh Syafiq menyusun kisah filem ini. Pelakon-pelakon juga tidak kurang hebat sewaktu melakonkan karakter yang dipegangnya. Ternyata Syafiq berjaya memilih watak berdasarkan pengalaman pelakon-pelakon itu. Apa-apa pun, filem ini memang penuh persoalan. Perlukan berulangkali tengok untuk memahami jalan penceritaannya..


Jadi, jangan lupa untuk memberi sokongan dan saksikan filem tempatan Misteri Dilaila ini di seluruh pawagam secara serentak di Malaysia, Singapura dan Brunei pada 21 Februari 2019. Kongsikan juga artikel ini di laman sosial anda dan tinggalkan komen terhadap filem ini selepas anda menontonnya.


Share on Google Plus

About Propa Rangers

Blog | http://proparangers.blogspot.com/ Facebook | http://www.facebook.com/proparangers

2 comments:

  1. Hebat Dan menarik filem ini..

    Yang pasti boleh menaikkan bulu roma

    ReplyDelete
  2. ishhh macam menarikkkk gilerr..jarang kita nak minat cite melayu seram macam ni...konfirm nak pergi tengokk!

    ReplyDelete