'Sendiri' Karya Dr. Irma Entertainment Nyanyian Akmar Natasha


Dr. Irma Entertainment telah mengadakan satu majlis minum petang di Platinum Lounge, MMCineplexes, ECurve, Damansara pada 29 Januari 2019 lalu bagi memperkenalkan bakat-bakat baharu naungan label muzik tersebut serta pratonton video muzik single terbaharu terbitan mereka. Majlis itu bermula sekitar jam 3.00 petang dan dihadiri rakan-rakan media serta selebriti tanah air dan penggiat seni yang pernah bekerjasama dengan Dr. Irma Entertainment sebelum ini.

Majlis yang julung kali diadakan itu telah dimeriahkan dengan persembahan lagu-lagu ciptaan Dr. Irma yang mana pernah menjadi runut bunyi bagi dua buah drama bersiri popular tempatan iaitu Antidot Lara nyanyian Ray Asri dan Ampun nyanyian Yama Watanabe bagi drama Jika Masih Ada Rindu. Drama yang turut hangat diperkatakan baru-baru ini juga iaitu Pujaan Hati Kanda dengan lagunya Definasi Cinta (Ferhad), Lakar Janji (Azharina Azhar) turut didendangkan dengan rendisi tersendiri oleh Ray Asri dan Gyha.


Seperti yang kita tahu, nama Dr. Irma kian meniti di bibir penggiat seni tanah air sebagai seorang doktor gigi yang berbakat besar dalam bidang penggubahan dan penulisan lagu. Atas minat yang mendalam terhadap dunia seni, Dr. Irma Entertainment telah ditubuhkan pada tahun 2017 sebagai permulaan beliau mengorak langkah dalam dunia hiburan.

Lebih dua puluh buah lagu ciptaannya telah diterbitkan dan menjadi siulan penggemar muzik tempatan dalam jangkamasa kurang daripada dua tahun. Dr. Irma berazam untuk mengangkat bakat-bakat baharu dengan kemampuan vokal yang luar biasa. Tahun 2019 ini, Dr. Irma yakin dengan kolaborasi strategik bersama pakar dan penggiat seni yang berpengalaman dan disegani iaitu Leroy Crew Productions, Riya Suara dan Didz Squad Studios, artis-artis Dr. Irma Entertainment bakal memberi saingan kepada artis-artis sedia ada yang sebaya dengan mereka, sekaligus mengubah wacana industri seni tanah air.


Kemuncak majlis pada petang itu menyaksikan sebuah tayangan video muzik berjudul Sendiri, single pertama nyanyian Akmar Natasha, penyanyi yang diserap masuk setelah memenangi pertandingan Suara Juara 2018 anjuran Dr. Irma Entertainment. Terdahulu, penyanyi yang berusia 19 tahun kelahiran Pulau Pinang itu juga pernah menjuarai beberapa pertandingan nyanyian antaranya ialah Pesta Pulau Pinang 2016, Chinese Cosmic Penang dan MBI Kulim Kedah serta pernah menjadi finalis bagi pertandingan nyanyian anjuran Chinese Neway 2017 dan menduduki tempat ketiga Kugiran Sinar 2018.


Karya berentak power balled ini merupakan sebuah lagi karya indah ciptaan sepenuhnya Dr. Irma yang berkisar tentang seorang wanita yang cuba bangkit dari kekecewaan dan kesedihan ditinggalkan kekasih. Menurut Dr. Irma, lagu ini ditulis dan digarap khas buat Akmar Natasha dan beliau juga sengaja mencabar kemampuan vokal Akmar Natasha yang sememangnya sudah cukup mantap. Lagu ini turut ditampilkan sebagai salah sebuah runut bunyi dalam drama bersiri Pujaan Hati Kanda. Video muzik Sendiri memaparkan terjemahan lirik lagu tersebut dalam bentuk visual hasil sentuhan arahan sulung Didie Samueil dengan penampilan hero drama terkenal, Azreil Ismail.

Lirik & Lagu Sendiri

LAGU & LIRIK: DR. IRMA SHIDA
DR. IRMA ENTERTAINMENT

Terhampa terdiam membisu
Ku lelah mengejar bayanganmu
Ku tahu kau tak setia
Hati ini luka

Ku rentas lautan
Gagahi renangi malam sendirian
Tiada lagi dirimu
Tuhan ubati hati ini
Kirim penawar ke sini
Agar ku bisa berdiri
Jalani hidup sendiri

Rasakan apa erti sunyi
Memutar dalam memori yang mati
Kenapa kau tak setia
Hati ini luka
Ku rentas lautan
Gagahi renangi malam sendirian
Tiada lagi dirimu
Tuhan ubati hati
Kirim penawar ke sini
Agar ku bisa berdiri
Jalani hidup sendiri



Kenali Akmar Natasha

BIODATA
NAMA PENUH: NORAKMAR NATASHA BINTI HASNI
TARIKH LAHIR: 20 APRIL 1999
ASAL: PULAU PINANG
KEDUDUKAN DALAM KELUARGA: SULONG (DARIPADA 2
ADIK-BERADIK)
PELAJARAN: SPM 2016
KERJAYA: PELAJAR KOLEJ SWASTA & PENYANYI

UKURAN
TINGGI: 150 SENTIMETER
BERAT: 42 KILOGRAM
SAIZ: XXS /XS

PENCAPAIAN
JOHAN, PESTA PULAU PINANG 2016
JOHAN, CHINESE COSMIC PENANG
FINALIS, CHINESE NEWAY KARAOKE 2017
JOHAN, MBI KULIM
FINALIS, KUGIRAN SINAR 2018
JOHAN, SUARA JUARA 2018


Acara yang penuh gilang-gemilang itu disusuli dengan persembahan dua buah lagu nyanyian artis animasi pertama Malaysia, AyaSofia yang dinyanyikan secara beramai-ramai oleh Gyha, Raden Atan dan Ray Asri. Lagu berjudul Bang Selebu adalah nyanyian duet AyaSofia bersama Raden Atan manakala lagu kedua berjudul Emoji merupakan lagu duet AyaSofia bersama Waris. Karya istimewa Dr. Irma dan Waris terhasil demi mencari kelainan dalam penerbitan lagu-lagu edaran Dr. Irma Entertainment. Lagu Emoji telahpun mula diedarkan sejak enam bulan lalu dan mendapat reaksi yang sangat menggalakkan dari pendengar-pendengar muzik dan mula rancak diputarkan di stesen-stesen radio tempatan biarpun tanpa promosi yang intensif.

Ucapan Kepada Akmar Nastaha Dari Dr. Irma

Share on Google Plus

About Propa Rangers

Blog | http://proparangers.blogspot.com/ Facebook | http://www.facebook.com/proparangers

2 comments: