Filem "Warkah" Bakal Meruntun Jiwa Penonton


Idea dan inspirasi filem "Warkah" ini bermula daripada kiriman sepucuk surat oleh seorang remaja kepada Ketua Eksekutif PERKESO, YBhg. Dato' Sri Dr. Mohammed Azman bin Dato' Aziz Mohammed. Dalam coretan surat itu, remaja tersebut menzahirkan rasa syukur serta berterima kasih atas bantuan dan jasa baik PERKESO dalam membantu kehidupan keluarganya hingga dia berjaya memperoleh kejayaan dalam pelajaran dengan cemerlang.


Sinopsis Filem "Warkah"

Filem "Warkah" mengisarkan kehidupan sebenar seorang remaja, Ikmal (lakonan Wafiy), pelajar cemerlang yang terpaksa mengharungi pelbagai dugaan. Ketika saat menghampiri ambang peperiksaan, ayahnya Kamil (lakonan Namron) ditimpa kemalangan mengakibatkan lumpuh seluruh anggota badan. Ikmal mula bergelut dengan cabaran kehidupan. Namun, kehadiran Cikgu Nur (lakonan Isyariana) membawa harapan baru. Ikmal dibelenggu dengan dilema antara konflik keluarga dan masa depannya. Apakah yang akan berlaku seterusnya? Siapakah Cikgu Nur?

 

Adaptasi Kisah Benar

Filem "Warkah" merupakan filem adaptasi daripada sebuah kisah benar dan diarahkan oleh Opie Zami dengan mengetengahkan pelakon cilik baharu dalam industri seni tanah air. Rayyana Rayqa, 5 tahun yang memegang watak Hana iaitu anak bongsu kepada Kamil. Lakonan Rayqa bakal meruntun jiwa sentimental penonton. Penyandang watak-watak utama lain ialah Namron, Syazwan Zulkifly, Isyariana dan Wafiy.



 

Turut diumumkan OST filem "Warkah" yang didendangkan oleh penyanyi Ariff Bahran yang mana lagu tersebut ciptaan Asfan dan lirik hasil nukilan Ahmad Fedtri Yahya.

PERKESO Memupuk Kesedaran Penonton Tentang Pencegahan Kemalangan

Di samping menghargai 'Orang Berinsurans', pembikinan filem ini juga secara tidak langsung dapat mengukuhkan peranan PERKESO dalam melaksanakan aktiviti memupuk kesedaran pencegahan kemalangan dan pengoperasian kepada pencarum dan rakyat Malaysia secara amnya.


Filem ini mengajak semua penonton supaya sentiasa tabah dan berusaha ke arah kehidupan yang lebih baik biarpun ditimpa musibah. Mencegah lebih baik daripada mengubati. Paparan amalan cara kerja yang selamat dan sihat dalam apa-apa jua keadaan dalam filem ini diharapkan dapat dipraktikkan seterusnya menjadi kebiasaan dalam kehidupan seharian para penonton.

Filem ini memaparkan nilai-nilai murni yang seharusnya disemai dalam jiwa masyarakat Malaysia serta dijadikan budaya demi membentuk masyarakat yang prihatin, peka dan bersatu padu sekali gus memacu Malaysia ke arah negara maju.


Filem "Warkah" bakal menemui penonton di pawagam-pawagam seluruh negara mulai 15 Ogos 2019.


Share on Google Plus

About Propa Rangers

Blog | http://proparangers.blogspot.com/ Facebook | http://www.facebook.com/proparangers

0 comments:

Post a Comment