Pergolakan Cinta dan Keluarga Dari Dua Dunia Berbeza Dalam Drama Sara Sajeeda

PETALING JAYA, 7 OKTOBER 2019 - Apabila Sara nekad mencari calon suaminya sendiri kerana tidak mahu bersama dengan pilihan hati bapanya, dia tidak menyangka bahawa lelaki yang dicintainya menyimpan suatu rahsia daripadanya iaitu memiliki seorang lagi isteri. Bagaimanakah Sara menerima hakikat itu? Konflik cinta dua dunia berbeza yang menampilkan para pelakon dari dua negara, Malaysia dan Pakistan dalam drama terbaharu slot Samarinda iaitu Sara Sajeeda telahpun mula bersiaran pada 3 Oktober lalu, setiap hari Isnin hingga Khamis, pukul 10.00 malam


Drama terbitan Zeel Production ini membariskan pelakon-pelakon seperti Tiz Zaqyah, Arslan Asad Butt, dan Anmol Baloch sebagai barisan utama. Drama ini turut dibintangi pelakon lain seperti Fahrin Ahmad, Fouziah Gous, Alif Muhaimin, Shaharuddin Thamby, Mas Anizan, Uyaina Arshad dan Haliza Misbun.

Sara Sajeeda yang bersiri 30 episod ini bakal menyingkap dilema cinta dan keluarga antara Sara, Fawaad Khan dan Sajeeda. Sara (Tiz Zaqyah), seorang pensyarah di sebuah kolej swasta yang dipaksa oleh ayahnya, Ismadi (Shaharuddin Thamby) untuk berkahwin dengan menantu pilihannya, Megat (Fahrin Ahmad), seorang peguam berstatus tinggi yang diyakini mampu membahagiakan Sara. Namun begitu, Sara memutuskan hubungan mereka yang terjalin selama 4 tahun itu akibat tidak tahan dengan sikap Megat yang terlalu mengikut kata-kata ayahnya tanpa mempunyai pendirian sendiri. Megat tidak pernah menyerah kalah dan bekerjasama dengan Ismadi untuk memenangi hati Sara semula.


Fawaad (Arslan Butt), seorang jejaka dari Pakistan, yang pada mulanya menetap di luar negara telah kembali ke pangkuan keluarganya. Tidak lama kemudian, dia ditawarkan untuk bekerja sebagai jurutera di Malaysia. Fawaad tersepit di antara mengutamakan keluarganya yang telah lama ditinggalkan atau kerjayanya. Akhirnya, dia memilih untuk memulakan kehidupan baharu di Kuala Lumpur.

Penemuan antara Sara dan Fawaad menimbulkan bibit-bibit cinta antara mereka berdua. Sara ingin memperkenalkan Fawaad sebagai calon suami. Malangnya, Fawaad dikejutkan dengan berita gempa bumi yang melanda keluarganya hingga dia terpaksa pulang ke negara asalnya. Ketika itu, Sara berasa ditipu kerana dia gagal menghubungi kekasihnya itu.


Kembalinya Fawaad ke rumah, dia melihat keluarganya membuat persiapan perkahwinan untuknya. Dia rasa tertipu. Walaupun menolak pada mulanya, Fawaad akur dengan keputusan itu dan kasihan dengan nasib Sajeeda (Anmol Baloch) yang telah kehilangan kedua-dua ibu bapanya dalam kejadian tanah runtuh akibat daripada gempa bumi.


Setelah pulang ke Malaysia, Fawaad mula berbelah bahagi apabila Sara mengakui dia telah jatuh cinta dengan Fawaad sedangkan dia telah pun berkahwin dengan Sajeeda tanpa rasa cinta. Akhirnya, dia merahsiakan perkahwinannya demi cintanya kepada Sara dan bersedia untuk mengahwininya meskipun tidak direstui Ismadi. Selepas berkahwin, Sara dapat menghidu pergerakan Fawaad yang seakan menyembunyikan sesuatu. Fawaad pula kerap menerima panggilan daripada Saima yang mahu anaknya pulang. 


Kaki drama yang mahukan kisah berunsur kekeluargaan dan cinta ini boleh menyaksikan Sara Sajeeda pada setiap hari Isnin hingga Khamis, pukul 10.00 malam dan juga boleh ditonton melalui portal video http://www.tonton.com.my. Ikuti juga lama sosial Facebook, Twitter, Youtube,  dan Instagram TV3 serta instagram rasmi Drama Sangat iaitu @dramasangat.


Share on Google Plus

About Propa Rangers

Blog | http://proparangers.blogspot.com/ Facebook | http://www.facebook.com/proparangers

2 comments:

  1. Ala.. Liez tak tgk pun sebab bila malam dah malas naktgk tv skrg ni.. layan lappy je..

    ReplyDelete
  2. suka tengok Tiz Zaqyah berlakon dan pastinya drama ni pun drama airmata...

    ReplyDelete