Pusat Pungutan Zakat Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (PPZ-MAIWP) serah Sijil Pembayar Zakat Korporat pertama kepada McDonald's Malaysia

PUTRAJAYA, 1 Oktober 2019 – Buat pertama kalinya, Pusat Pungutan Zakat Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (PPZ-MAIWP) mengeluarkan sijil akuan kepada syarikat-syarikat perniagaan di Malaysia yang membayar Zakat korporat mereka di Wilayah Persekutuan. Gerbang Alaf Restaurants Sdn. Bhd., pengendali tempatan McDonald's Malaysia merupakan penerima pertama Sijil Pembayar Zakat Korporat daripada PPZ-MAIWP. Sijil ini akan dipamerkan di lebih 40 restoran McDonald's di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya, dan Labuan.


Ini merupakan tahun ketiga berturut-turut McDonald’s Malaysia telah membayar Zakat korporat setelah pemerolehan syarikat oleh Lionhorn Pte. Ltd., sebuah anak syarikat Reza Group di Arab Saudi, pada 1 Disember 2016.
“Menghulurkan bantuan atau sumbangan merupakan sesuatu yang cukup dekat di hati kami semua di McDonald's Malaysia, sama ada menerusi usaha-usaha Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) kami atau pembayaran Zakat. Kami berbangga menjadi penerima pertama Sijil Pembayar Zakat Korporat daripada PPZ-MAIWP, dan ini mencerminkan komitmen McDonald’s Malaysia dalam menunaikan kewajipan sebagai sebuah entiti perniagaan yang dimiliki oleh pelabur Islam,” kata Pengarah Kanan Sumber Manusia merangkap Pengerusi Jawatankuasa Halal Dalaman McDonald’s Malaysia, Azhar Darbi. 
Menurut beliau, McDonald’s Malaysia membayar zakat berjumlah RM1.4 juta pada tahun 2019. Jumlah tersebut akan diagihkan secara rata kesemua 14 negeri, termasuk Wilayah Persekutuan, yang akan disalurkan kepada PPZ-MAIWP.


Membayar Zakat merupakan kewajipan yang dituntut di kalangan umat Islam. Sijil baharu ini diperkenalkan sebagai satu bentuk perakuan dan galakan kepada syarikat-syarikat untuk membayar Zakat. Dengan adanya sijil Zakat ini, secara tidak langsung memberi pencerahan kepada para pengguna mengenai urus niaga syarikat bagi memudahkan mereka membuat keputusan yang lebih baik ke atas kedai atau tempat yang di kunjungi. Ini sudah tentu membantu syarikat-syarikat memberi pulangan yang lebih baik kepada mereka.
"Kami berharap melalui sijil ini, kami dapat menggalakkan lebih banyak syarikat perniagaan untuk membayar Zakat. Matlamat kami adalah untuk mengutip zakat sebanyak RM1 bilion pada tahun 2023. Ini adalah antara langkah yang sedang kami lakukan dalam usaha kami mencapai sasaran tersebut," kata Ketua Pegawai Eksekutif Pusat Pungutan Zakat Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (PPZ-MAIWP), Tuan Haji Ahmad Shukri Yusoff.
"Sijil Pembayar Zakat Korporat ini dilihat memberi nilai tambah kepada Pensijilan Halal sedia ada yang dimiliki syarikat, dimana ia bertujuan meningkatkan keyakinan pengguna terhadap pilihan mereka setiap hari. Kami gembira PPZ-MAIWP mengambil inisiatif untuk memperkenalkan pensijilan ini, dan tidak mustahil usaha ini akan turut diikuti oleh pihak berkuasa Zakat di negeri-negeri lain di Malaysia. Lebih membanggakan lagi, jenama global seperti McDonald's Malaysia, sangat menyokong, dan komited terhadap kewajipan berzakat ini," kata Menteri Hal Ehwal Agama, YB Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa.

Selain membayar Zakat, McDonald's Malaysia juga bekerjasama rapat dengan Jabatan Kemajuan Agama Islam Malaysia (JAKIM) untuk terus mendukung komitmen Halalnya kepada para pengguna dalam semua aspek perniagaan. McDonald’s Malaysia juga terlibat secara aktif dalam pelbagai program Halal termasuk Pameran Halal Antarabangsa Malaysia (MIHAS), HALFEST dan Sidang Kemuncak Halal Dunia.


McDonald’s Malaysia juga komited menggalakkan golongan belia khususnya daripada keluarga asnaf untuk menjalani Sistem Latihan Dual Nasional (SLDN) McDonald’s. Buat masa ini, pihak syarikat membiayai 30 anak asnaf untuk menjalani SLDN McDonald’s yang melibatkan latihan secara praktikal dan teori selama 18 bulan. Sebaik tamat program, mereka akan dianugerahkan Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) Tahap 2 dan Tahap 3 oleh Jabatan Pembangunan Kemahiran. Selain itu, McDonald’s Malaysia juga memperkenalkan Program Perantisan Pengurusan yang menyasarkan golongan belia lepasan universiti dalam kategori B40, untuk memulakan kerjaya di McDonald’s sebaik sahaja tamat pengajian. 

Untuk maklumat lanjut, layari pautan di bawah:-

Website

Share on Google Plus

About Propa Rangers

Blog | http://proparangers.blogspot.com/ Facebook | http://www.facebook.com/proparangers

0 comments:

Post a Comment