4.2 Juta Saksi Ismail Izzani Tertipu!


Rancangan realiti yang tidak asing lagi, I Can See Your Voice Malaysia Musim 3 (ICSYVMY3), kini mencatat kadar tontonan secara purata 2.5 juta penonton sejak disiarkan pada 16 Februari 2020. Lebih mengujakan lagi apabila program hiburan nombor 1 di Malaysia ini telah mencecah 4.2 juta penonton di episod ketiganya yang menampilkan Ismail Izzani sebagai artis jemputan. (sumber: Nielsen Audience Measurement)


Program ICSYVMY3 merupakan adaptasi daripada program hiburan popular Korea Selatan yang telah menceriakan hujung minggu pada setiap Ahad dari jam 9.00 malam sehingga 10.30 malam di TV3. Ia juga boleh ditonton secara live streaming di laman sesawang www.tonton.com.my. Selain itu, anda juga boleh menonton siaran ulangan pada setiap Sabtu jam 9.00 malam menerusi TV9.

Empat episod yang lalu telah memperlihatkan artis jemputan seperti Sham Visa, Stacy, Ismail Izzani dan Siti Nordiana dalam mengenal pasti identiti penyanyi sumbang dan penyanyi sebenar. Program ICSYVMY3 pada minggu pertama telah menampilkan aksi sulung Yusri Abdul Halim sebagai ahli baru dalam panel penyiasat suara sumbang bersama panel tetap dalam dua musim berturut-turut iaitu Jihan Muse dan Mark Adam.


Artis jemputan minggu pertama ialah Sham Visa, atau nama viralnya 'Ironman Malaysia' sebagai penyeri dalam episod tersebut. Mira Filzah dan Ropie turut hadir sebagai ahli panel penyiasat jemputan bagi minggu itu. Kehadiran mereka pastinya telah memeriahkan pentas ICSYVMY3 dengan keletah spontan dan lucu mereka.

 
Minggu kedua pula membawakan Stacy sebagai artis jemputan. Turut hadir sebagai panel penyiasat jemputan ialah Kamal Adli dan Reen Rahim. Minggu ketiga memaparkan Ismail Izzani sebagai artis jemputan termuda kerana baru berusia 20 tahun. Turut hadir sebagai panel penyiasat jemputan ialah Nafiz Muaz dan Michael Ang. Kedua-dua Sham Visa dan Stacy telah dapat memilih penyanyi sebenar untuk menyanyi duet bersama mereka di akhir episod. Malangnya, Ismail Izzani telah tertipu dan memilih penyamar.


 

Minggu keempat yang baru bersiaran pada hari Ahad lepas menampilkan Siti Nordiana (Nana) sebagai artis jemputan. Turut hadir sebagai panel penyiasat jemputan ialah Azad Jasmin dan Nabila Huda. Kita sudah sedia maklum akan pengalaman hebat ketiga-tiga artis ini dalam dunia hiburan, jadi mampukah mereka meneka penyanyi sebenar dalam episod itu?

Adegan pilihan duet yang dilakukan oleh Nana dalam episod tersebut amat luar biasa apabila kesemua ahli panel sebulat suara memilih Nurul Natasya Noor Abdullah sebagai sebagai pasangan duet manakala majoriti penonton ingin melihat Nana memilih peserta bernama Mohd Harith Danial Kamarul Ariff. Siapakah di antara mereka berdua ini penyanyi sebenar atau penyamar?



Nana akhirnya memilih untuk menyingkirkan penyanyi misteri kedua, iaitu Nurul Natasya untuk ke pentas penentuan, di mana kesemua ahli panel terus mengangkat kerusi masing-masing dan menyorok dek malu apabila pilihan mereka merupakan penyamar bersuara sumbang. Buat pertama kalinya ahli panel lari dari pentas! Tahniah kepada Mohd Harith Danial Kamarul Ariff, seorang penyanyi sebenar yang telah berjaya ke pusingan akhir dan menjadi pasangan duet Nana. Beliau juga akan bersaing dengan penyanyi-penyanyi sebenar lain untuk menjadi artis di bawah naungan Monkey Bone dan Warner Music serta layak untuk merakamkan sebuah single. 

Bersiaran sepanjang 10 episod dan 1 episod khas, program ini mempamerkan seorang artis jemputan dan dua orang penyiasat jemputan untuk memeriahkan lagi suasana di studio ICSYVMY pada setiap episod. Tugas para penyiasat bertujuan membantu artis jemputan mengenal pasti siapakah penyanyi misteri suara sumbang dalam kalangan penyanyi misteri yang ditampilkan.

ICSYVMY3 mengekalkan pasangan hos dari musim lalu iaitu Shuk Sahar dan Sean LJE dan turut menampilkan Oppo sebagai penaja bersama untuk kali kedua dalam musim ketiga ini. Disokong oleh Hot FM sebagai radio rasmi, manakala xtra, Oh Bulan! dan Senang Terhibur ialah rakan digital. Kru penerbitan ICSYVMY3 diketuai oleh Mas Ayu Haji Ali sebagai penerbit eksekutif dan Lucent Chong Kien Wen sebagai penerbit dari Primeworks Studios.


Nantikan kemunculan Erra Fazira dalam episod kelima yang akan bersiaran pada 15 Mac 2020. Berhibur dengan pelbagai gelagat dan kejutan dalam ICSYVMY3 pada setiap hari Ahad, pukul 9.00 malam di TV3 dan strim dalam definisi tinggi di laman sesawang www.tonton.com.my. Siaran ulangan juga dapat ditonton menerusi TV9 pada setiap hari Sabtu, pukul 9.00 malam. Gunakan tanda pagar #ICSYVMY dalam merancakkan perbualan di platform media sosial.

Untuk maklumat lanjut dan perkembangan terkini tentang program TV3, layari 

Website

Facebook, Instagram & Twitter
@TV3Malaysia
Share on Google Plus

About Propa Rangers

Blog | http://proparangers.blogspot.com/ Facebook | http://www.facebook.com/proparangers

0 comments:

Post a Comment