Kempen Tabung Pahlawan 2020 Sasar RM10 Juta Bantu Veteran ATM

Penghormatan atas pengorbanan... Di usia muda, segala jerih perih dicurahkan oleh para perajurit demi mempertahankan tanah air tercinta. Ada yang terkorban, ada yang hilang keupayaan dan ada juga ahli keluarga mereka yang hilang tempat bergantung. Pengorbanan mereka wajar diberi penghormatan tinggi dan mereka tidak harus dilupai oleh masyarakat ketika dimamah usia selepas bersara.

Petaling Jaya - Kutipan sebanyak RM10 juta disasarkan sempena Kempen Tabung Pahlawan 2020 menerusi kolaborasi antara Media Prima Berhad dengan Jabatan Hal Ehwal Veteran ATM (JHEV ATM) di program Malaysia Hari Ini di Sri Pentas, Bandar Utama.

Majlis pelancaran ini dilancarkan oleh YABhg. Puan Sri Datin Paduka Hajah Noorainee binti Haji Abdul Rahman selaku Penaung Kempen Tabung Pahlawan. Turut hadir di majlis pelancaran tersebut adalah YB Dato' Sri Ismail Sabri bin Yaakob, Menteri Kanan Pertahanan dan YB Dato' Sri Ikmal Hisham bin Abdul Aziz, Timbalan Menteri Pertahanan.


Pelancaran Kempen Tabung Pahlawan 2020 tersebut juga dimeriahkan lagi dengan persembahan menarik daripada Angkatan Tentera Malaysia iaitu ‘Tempur Tanpa Senjata’ dari Tentera Darat Malaysia (TDM), kawad senyap Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan ‘drumline’ Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) serta diakhiri dengan persembahan lagu, ‘Perwira’,  ciptaan Aubrey Suwito dan Ketua Pegawai Eksekutif Media Prima Berhad, Datuk Ahmad Izham Omar oleh Ning Baizura. Lebih istimewa, buat pertama kali dalam sejarah kerana Tentera Darat Malaysia, Tentera Laut Diraja Malaysia dan Tentera Udara Diraja Malaysia dapat hadir bersama di Sri Pentas bersempena dengan pelancaran kempen tersebut. 

Kolaborasi antara Media Prima Berhad dan JHEV ATM dalam Kempen Tabung Pahlawan 2020 bertujuan meningkatkan kesedaran setiap lapisan masyarakat tanpa mengira bangsa dan usia untuk memberi penghormatan dan penghargaan atas pengorbanan para perajurit kita selama ini dalam menjamin keselamatan serta kedaulatan tanah air kita. Sebagai rakan kolaborasi, Media Prima Berhad turut menyediakan pelbagai pengisian program dan aktiviti menarik dalam menyemarakkan lagi kempen tersebut. 

Menurut YB Dato’ Sri Ismail Sabri bin Yaakob, Menteri Kanan Pertahanan, “Sesungguhnya keamanan yang kita kecapi pada hari ini adalah hasil daripada perjuangan para perwira negara. Sehubungan itu semua lapisan masyarakat, pihak swasta dan korporat diseru untuk sama-sama menyumbang kepada Kempen Tabung Pahlawan sebagai tanda penghormatan di atas pengorbanan yang telah dicurahkan oleh Pahlawan Negara dalam mempertahankan kedaulatan, keselamatan dan keamanan negara. Ia juga bagi menyemai dan meningkatkan semangat patriotisme dan sifat kecintaan terhadap negara dalam diri setiap warganegara Malaysia khususnya generasi muda.’’

Dato' Iskandar Mizal Mahmood, Pengarah Urusan Kumpulan, Media Prima Berhad berkata,  “Kolaborasi Media Prima Berhad dengan JHEV ATM dapat menyemarakkan lagi promosi Kempen Tabung Pahlawan 2020 dengan lebih meluas menerusi kepelbagaian rangkaian platform media yang merangkumi TV, radio, digital, cetak dan pengiklanan luar. Selain menghebahkan maklumat untuk meningkatkan kesedaran rakyat Malaysia terhadap kempen ini, kami juga mahu menerap semangat patriotik dan nilai cinta kepada tanah air melalui naratif penceritaan dan kupasan yang menyentuh jiwa para penonton menerusi program-program yang disediakan.”  

Kempen Tabung Pahlawan 2020 bertujuan menggalakkan orang ramai memberi sumbangan secara ikhlas untuk membantu Veteran ATM yang telah banyak berkorban kepada negara. Tahun ini, Kempen Tabung Pahlawan 2020 mensasarkan jumlah kutipan melebihi RM 10 juta. Anda boleh menyalurkan sumbangan menerusi Tabung Rayuan Hari Pahlawan (Affin Bank 1059 5000 3201). Hasil kutipan tabung akan digunakan untuk membantu Veteran ATM yang kurang upaya, balu veteran OKU, kos perubatan, bantuan peralatan pesakit, bantuan bencana alam dan juga bantuan kebajikan yang lain. Setiap sumbangan layak menikmati pengurangan cukai di bawah subseksyen 44(6) Akta Cukai Pendapatan 1967, Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).


Selain itu, 20 selebriti popular tanah air juga akan turut menyumbangkan barangan peribadi untuk dijual dan hasil jualan tersebut akan disalurkan ke Tabung Pahlawan. Aktiviti jualan tersebut akan dihebahkan menerusi laman media sosial rasmi TV3 dan program Wanita Hari Ini dan Melodi, bermula 24 Ogos - 4 September 2020.


Perwira, lagu & video muzik Kempen Tabung Pahlawan 2020  
Media Prima Berhad menerusi Primeworks Studios Sdn Bhd telah menyumbangkan sebuah lagu istimewa untuk semua perwira di negara kita. ‘Perwira’ hasil ciptaan Aubrey Suwito dan Ketua Pegawai Eksekutif Primeworks Studios Sdn Bhd, Datuk Ahmad Izham Omar, dinyanyikan oleh penyanyi bersuara soprano Ning Baizura. Proses rakaman lagu ini telah dilakukan pada penghujung bulan Jun di studio Cranky Music milik Aubrey Suwito dan mengambil masa kurang dari empat jam. ‘Perwira’ boleh didengari di semua pelantar digital termasuk Spotify, Joox, Apple Music, KKBox, Deezer dan YouTube Music bermula 17 Julai 2020 manakala video muzik pula bakal disiarkan bermula 24 Ogos 2020. 

Video muzik ‘Perwira’ diinspirasikan oleh kisah benar kejadian pertempuran di Somalia yang lebih dikenali sebagai insiden ‘Black Hawk Down’ pada tahun 1993. Allahyarham Koperal Mat Aznan Awang dari Batalion 19 Rejimen Askar Melayu Diraja Malaysia (RAMD) Mekanis mengendalikan kereta perisai RPZ Condor dalam misi menyelamat 70 anggota US Rangers dan lima anggota Tentera Udara Amerika Syarikat yang dikepung militia Somalia di Pasar Bakara. Dalam tragedi itu, kereta perisai dipandu Allahyarham telah ditembak. Tujuh anggota lain turut cedera. Allahyarham dikurniakan pingat Seri Pahlawan Gagah Perkasa (S.P.). Anak perempuan Allahyarham, Staf Sarjan Noor Azlinda Mat Aznan turut menyertai Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan kini beliau bertugas sebagai Jurulatih Pendidikan Kanan di pasukan Batalion ke-19 Rejimen Askar Melayu DiRaja (RAMD) Mekanis, Kem Lapangan Terbang Sg. Petani, Kedah.

Program Rancangan Sempena Kempen Tabung Pahlawan 2020 Di TV3
Program
Tarikh
Masa
Intisari Rancangan
Malaysia Hari Ini
20, 21 & 24 Ogos 2020
8.00 – 9.30 pagi
Program bual bicara TV3, Malaysia Hari Ini akan menyiarkan 3 segmen khas, ‘JHEV’,  ‘Berkongsi Cerita, Berkongsi Rasa’ dan ‘Perwiraku’
Majalah 3
31 Ogos 2020
9.00 malam
Penghormatan Atas Pengorbanan
Wanita Hari Ini
26 Ogos 2020
12.00 tengah hari
Susulan Kejayaan
Nona
30 Ogos 2020
2.00 petang
Rentas Kemahiran Reformasi
Melodi & MBuzz
30 Ogos 2020
2 minit
Apa Kata Orang Muda #AKOM
Telefilem
12 September 2020
9.00 malam
Kelab Gentlemen
Malaysia Hari Ini: Perwiraku, JHEV, Berkongsi Cerita Berkongsi Rasa, 20, 21 & 24 Ogos 2020, 8.00 - 9.30 pagi, TV3
Program bual bicara TV3, Malaysia Hari Ini akan menyiarkan 3 segmen khas, ‘JHEV’,  ‘Berkongsi Cerita, Berkongsi Rasa’ dan ‘Perwiraku’ pada 20 hingga 24 Ogos 2020. Di dalam segmen ‘JHEV’ akan menemubual pengerusi JHEV tentang fungsi Jabatan Hal Ehwal Veteran ATM dan memberi penjelasan lanjut tentang kempen Tabung Pahlawan 2020. ‘Berkongsi Cerita Berkongsi Rasa’ pula fokus kepada pengorbanan pesara anggota Tentera Malaysia. Segmen ‘Perwiraku’ menemubual pihak Majlis Keselamatan Negara tentang peranan penting Angkatan Tentera Malaysia ketika pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan dalam usaha membendung penularan wabak Covid-19. MHI akan berkongsi pengalaman dan cabaran yang dihadapi oleh mereka dalam menggalas tugas berat untuk mempertahankan kedaulatan negara kita. 

Majalah 3: Penghormatan Atas Pengorbanan, 31 Ogos 2020, 9.00 malam di TV3
Kejadian pertempuran di Pasar Bakara, Somalia atau lebih dikenali sebagai insiden ‘Black Hawk Down’ yang berlaku pada tahun 1993 menyaksikan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) berjaya membuka mata dunia tentang kewibaaan ATM dalam mempertahankan tanah air. Ikuti temuramah secara dekat dengan bekas perajurit kita yang akan berkongsi pengalaman mereka.  

Wanita Hari Ini: Susulan Kejayaan (26 Ogos 2020, 12.00 tengah hari di TV3)
Segmen khas ‘Susulan Kejayaan’ memaparkan usaha pesara tentera yang menceburi diri ke bidang lain. Terdapat golongan yang sudah berjaya memiliki syarikat sendiri dan menjalani perniagaan di bandar. Tidak ketinggalan juga terdapat golongan yang mengusahakan pertanian di desa. 

Nona: Rentas Kemahiran Reformasi (30 Ogos 2020, 2.00 petang di TV3)
Ikuti hidup para perajurit selepas mereka bersara dari tanggungjawab menjaga keamanan negara. Bagaimana mereka meneruskan kelangsungan hidup dengan belajar kemahiran baharu seperti menjahit, berkebun, perniagaan atas talian, memasak dan sebagainya. 

Apa Kata Orang Muda #AKOM, (2 minit)
Berkongsi tentang prospek kerjaya sebagai seorang anggota tentera di Malaysia dengan golongan muda yang berumur antara 16 hingga 25 tahun. Apakah kelayakan yang diperlukan untuk menyertai Angkatan Tentera Malaysia dan kelebihan yang diberikan kepada mereka? AKOM juga akan berkongsi pandangan orang muda tentang peranan Angkatan Tentera Malaysia dan tentang Tabung Pahlawan. Kapsul berdurasi 2 minit ini disiarkan menerusi program Melodi dan MBuzz di TV3. 

Telefilem: Kelab Gentlemen (12 September 2020, 9.00 malam di TV3)
Telefilem khas yang diarahkan oleh Gavin Yap membariskan pelakon hebat tanah air seperti Rahim Razali, Sabri Yunus, Azman Hassan, Vanidah Imran, Siti Farah Abdullah dan Aiman Hakim Ridza mengisahkan tiga pesara perajurit negara yang kini tinggal di sebuah rumah jagaan warga tua. Mereka berpakat untuk menyelinap keluar dari rumah jagaan itu kerana ingin menyaksikan Perbarisan Hari Pahlawan. Masing-masing menyimpan sebuah rahsia yang tidak diketahui oleh rakan-rakannya. 

Maklumat lanjut mengenai Kempen Tabung Pahlawan 2020, boleh layari yang tertera di bawah

Website

Facebook

Twitter
@TabungPahlawanVeteranATMOfficial

Instagram
@tabungpahlawanofficial


Share on Google Plus

About Propa Rangers

Blog | http://proparangers.blogspot.com/ Facebook | http://www.facebook.com/proparangers

0 comments:

Post a Comment