PdPR | Cabaran Ibu Bapa, Guru dan Pelajar

Hari ini, pembukaan sesi persekolahan dalam suasana normal baharu memberi pengalaman yang tidak dapat digambarkan sebelum ini. Pelaksanaan pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR) di seluruh negara akibat pandemik Covid-19 dilihat bukan saja memberi cabaran kepada ibu bapa, malah juga kepada guru dan pelajar.

Sebagai contoh, seorang guru di sebuah sekolah di Putrajaya berkata, kehadiran kelas dalam talian dalam kalangan pelajar dari kelas 'belakang' dilihat sangat rendah.

"Contohnya, jika dilihat kehadiran pelajar kelas hadapan ialah 24 daripada 27 orang secara keseluruhan, manakala kehadiran kelas belakang dilihat hanya enam daripada jumlah 19 orang. Oleh yang demikian, pastilah pelajar pandai akan selamat dan yang lemah pula terus ketinggalan."

Kita tahu, jika di sekolah guru-guru boleh memanggil pelajar bersemuka dan memberi motivasi. Namun, apabila kelas dijalankan secara online, ia bergantung pada persediaan pelajar terbabit dari segi peranti, pelan data dan motivasi diri. Menurut beliau lagi yang enggan dikenali, cabaran lain kelas online ialah sukar memantau disiplin dan tumpuan pelajar.

Pernah berlaku ada pelajar mengaku membuka dua paparan pada komputer riba di mana satu untuk kelas online dan satu lagi untuk 'melayan permainan dalam talian'.

Bagi pelajar Tingkatan Tiga sebuah sekolah di Selangor, Syakir Fazly, 15, cabarannya ialah adiknya sering mengganggu dan membuat bising ketika mengikuti kelas online. Menurutnya lagi, "Sukar untuk saya mendengar suara cikgu dan pelajar lain. Kalau ada yang hendak bertanya soalan pun, cikgu hanya teruskan mengajar kerana tidak mendengar soalan dan suara pelajar."

Selain itu, tidak semua subjek yang diajar cikgu dapat difahami dengan jelas kerana skrin telefon bimbit kecil. Pautan yang diberikan cikgu juga kadang-kadang sukar untuk diakses dan tersekat-sekat.

Pekerja swasta, Shahidah Musa berusia lewat 30-an dan mempunyai anak bersekolah Tahun Satu dan Dua di Selangor pula berkata, ada guru tidak konsisten serta bertukar-tukar platform media sosial dan medium dalam mengendalikan PdPR.

"Ada masa menggunakan platform WhatsApp, kemudian bertukar kepada Telegram. Medium pembelajaran juga berubah-ubah, daripada aplikasi Zoom kepada Google Meet dan panggilan video.

"Selain itu, waktu kelas bermula juga berubah seperti hari pertama jam 9.30 pagi tetapi hari kedua 10 pagi. Ibu bapa terpaksa sentiasa menunggu maklumat dan kemas kini daripada guru," katanya yang terpaksa membeli telefon bimbit untuk anak berikutan pelaksanaan PdPR.

Malah, beliau memaklumkan, ada ibu bapa terpaksa 'belajar' aplikasi Google Classroom dan sebagainya bagi membantu anak menyiapkan tugasan, terutama yang memerlukan mereka merakam video.

Di Johor, Hairunnisak Aman, 39, yang mempunyai anak berusia enam, lapan dan 10 tahun berkata, PdPR bukan sahaja menuntut disiplin tinggi pelajar, malah ibu bapa juga perlu memainkan peranan memastikan anak tidak tercicir.

"Agak mencabar kerana memerlukan komitmen tinggi untuk menyertai sesi Google Meet, Google Classroom, Telegram dan WhatsApp membabitkan tiga anak yang bersekolah rendah secara serentak.

"Namun buat masa ini, saya masih boleh 'curi-curi' masa memantau mereka," kata pengusaha katering itu ketika dihubungi.

SUMBER : BERITA HARIAN

Share on Google Plus

About Propa Rangers

Blog | http://proparangers.blogspot.com/ Facebook | http://www.facebook.com/proparangers

0 comments:

Post a Comment